AM

REMAJA PEREMPUAN DILAPOR HILANG DI BATANG KALI DITEMUKAN SELAMAT

25/07/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di Batang Kali, Selangor sejak Selasa lepas, ditemukan selamat di Triang, Pahang, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata remaja itu ditemukan di dalam sebuah rumah milik saudara kepada individu dipercayai teman lelakinya pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata remaja berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pemeriksaan kesihatan.

Mohd Asri berkata polis turut menahan lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Suspek yang disyaki melarikan mangsa ditahan reman bermula hari ini hingga 27 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Semalam, polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja perempuan itu yang kali terakhir dilihat di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali, Selangor pada 9.30 malam, Selasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan