JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN TIGA LELAKI DISYAKI PECAH MASUK PEJABAT PARLIMEN KULAI

26/07/2024 12:10 AM

KULAI, 25 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat kes pecah masuk Pejabat Parlimen Kulai, pejabat sekolah dan tokong di sekitar daerah ini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar Kulai dan Johor Bahru bermula 3.30 pagi hingga 3 petang serta polis turut merampas peralatan dan kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Tangkapan ini dipercayai berjaya menyelesaikan tujuh kes yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing.

Siasatan lanjut katanya masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas. 

Sebelum ini, media melaporkan Pejabat Parlimen Kulai dan empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini dipecah masuk baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching Teo dilapor berkata kejadian itu menyebabkan kerugian ribuan ringgit dengan barang yang hilang termasuk peranti (tablet) dan telefon bimbit. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Tan berkata empat lelaki berusia lingkungan 41 hingga 55 tahun ditahan dalam dua serbuan kerana disyaki terlibat kes pecah rumah pada 12 Julai lepas.

Beliau berkata tangkapan itu dipercayai menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar Kulai, Pontian dan Seri Alam.

 -- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan