EKONOMI

KUCINGKO MULA DISENARAIKAN DI PASARAN ACE, PREMIUM 168 PERATUS

26/07/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kucingko Bhd melakar prestasi mengagumkan ketika mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Jumaat, dibuka pada 80.5 sen -- premium 168.33 peratus berbanding harga tawaran awam awal (IPO) pada 30 sen.

Kucingko mencatatkan kejayaan sebagai syarikat produksi animasi 2D pertama yang disenaraikan di bursa tempatan, dengan 13.45 juta saham bertukar tangan sebaik sahaja dagangan dibuka.

Syarikat itu turut mengumumkan rancangan penambahan tenaga kerja kepada 510 orang pada 2027, daripada 260 orang pada masa ini.

Pengarah Eksekutif See Chin Joo menyuarakan keyakinan mengenai masa depan syarikat perkhidmatan produksi animasi dua dimensi (2D) itu.

“Rancangan kami adalah untuk mengembangkan syarikat dengan 510 tenaga kerja. Trajektori ini boleh digunakan sebagai panduan untuk potensi pertumbuhan kami,” katanya semasa sidang media secara maya selepas penyenaraian itu.

Beliau berkata susulan penyenaraian itu, pihaknya mengharapkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi untuk membangunkan kumpulan bakat yang mantap, khususnya di Sabah dan Sarawak.

See berkata dalam melangkah maju, Kucingko perlu melaksanakan rancangan dengan teliti untuk merealisasikan potensinya.

“Saya menjangkakan 2025 akan menjadi tempoh yang sangat menarik bagi Kucingko, memandangkan semua rancangan akan dilaksanakan mulai sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Kucingko menjangkakan dapat mengumpul hasil kira-kira RM30 juta menerusi penyenaraian itu dan akan memperuntukkan RM17.8 juta bagi tujuan pengembangan kapasiti termasuk membuka pejabat cawangan produksi di Malaysia Timur dan menaik taraf pejabat operasi sedia ada di Selangor.

“RM4 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk membuka pejabat jualan di Amerika Syarikat, RM4.2 juta untuk modal kerja dan RM3.6 juta untuk perbelanjaan penyenaraian,” tambah syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan