AM

KELUARGA NUR FARAH KARTINI PUAS HATI PROSES SIASATAN, PENDAKWAAN

26/07/2024 02:37 PM

HULU SELANGOR, 26 Julai (Bernama) -- Keluarga kepada Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di sini pada 15 Julai lepas, berpuas hati terhadap proses siasatan polis dan pendakwaan di mahkamah setakat ini.

Sepupu kepada Nur Farah Kartini, Suzursofia Smeth Jaya, 33, berkata dia berharap pihak pendakwaan akan memberikan pembelaan dan keadilan terhadap Allahyarham.

“Setakat ini, semua positif dan kita tunggu untuk sebutan kes seterusnya. Keluarga kami akan hadir untuk sebutan pada 30 Ogos ini. Sama-sama kita berdoa untuk Allahyarham,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Suzursofia yang datang dari Miri, Sarawak bersama dua lagi ahli keluarga Nur Farah Kartini hadir ke mahkamah itu untuk mengikuti prosiding pendakwaan Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang berhadapan tuduhan membunuh Nur Farah Kartini.

Turut hadir pada prosiding itu ialah keluarga tertuduh termasuk ayah, adik-beradik dan rakan-rakannya.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang, lima hari kemudian.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan