AM

PENGANJURAN PROGRAM DAN PENYALURAN SUMBANGAN SEKOLAH: GARIS PANDUAN SEDIA ADA DIKEKALKAN

26/07/2024 04:35 PM

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah dikekalkan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas.

Panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Pada masa sama, KPM memaklumkan mesyuarat itu juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan KPM sedang melakukan siasatan berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah membabitkan sumbangan syarikat minuman keras.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihati supaya mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan daripada pihak luar.

Sebelum ini, isu itu dibangkitkan susulan tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan