AM

HOSTEL TERBAKAR: WANITA ALAMI SESAK NAFAS, 13 LAGI TERSELAMAT

26/07/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seorang wanita mengalami sesak nafas manakala 13 individu lagi berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan sebuah hostel di bangunan premis perniagaan di Bandar Puchong Jaya, Selangor, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 2 petang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota bergerak ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah hostel yang terbakar 100 peratus dan terdapat seorang wanita berusia 36 tahun yang mengalami sesak nafas.

“Pasukan menjalankan kerja pemadaman dan terdapat dua kereta jenis Mercedes serta Toyota Prius yang berada di bawah bangunan turut mengalami kerosakan sebanyak lima peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 16 hingga 65 tahun itu dipercayai menyewa bilik di hostel berkenaan dan mangsa yang sesak nafas diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan