EKONOMI

CYBERVIEW METERAI TIGA MOU JADIKAN CYBERJAYA HAB TEKNOLOGI ANTARABANGSA

27/07/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat untuk menjadikan Cyberjaya sebagai hab teknologi antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata tiga syarikat itu ialah Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Perbadanan Ekonomi Digital dan Teknologi Maklumat Selangor (SIDEC) serta syarikat infrastruktur digital, Equinix Malaysia.

Beliau berkata menerusi MoU bersama SIDEC, pihaknya ingin memajukan sektor semikonduktor dengan mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta tempat latihan untuk lepasan pengajian tinggi dan jurutera dalam bidang itu.

“Kita ingin menjadikan Cyberjaya sebagai hab reka bentuk litar bersepadu (IC) untuk industri  semikonduktor. Kita juga mahu lepasan pengajian tinggi atau jurutera Malaysia meningkatkan tahap mereka untuk menjadi pereka bentuk IC, mikrocip dan sebagainya,” katanya kepada Bernama di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata kerjasama dengan Equinix pula akan melonjakkan lagi Cyberjaya sebagai destinasi pelaburan dalam bidang teknologi di Malaysia dengan nilai pelaburan RM23 juta.

“Digital ekonomi memerlukan infrastruktur digital seperti pusat data. Kerjasama ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk menjadikan negara sebagai hab teknologi antarabangsa,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi dapat ditingkatkan khususnya di kawasan Cyberjaya menerusi kerjasama dengan tiga syarikat itu.

Hasrat Cyberview adalah untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi selain menjadikan Cyberjaya sebagai kawasan yang menawarkan kelebihan itu berbanding kawasan lain di Malaysia, katanya.

“Perkara ini juga secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital dan Ekonomi MADANI,” katanya.

Hadir sama dalam majlis menandatangani MoU itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Cyberview Datuk Romli Ishak. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan