DUNIA

RUSIA, ASEAN IKRAR PERKUKUH HUBUNGAN POLITIK, KESELAMATAN DAN EKONOMI

26/07/2024 10:30 PM

VIENTIANE, 26 Julai (Bernama-Sputnik) -- Rusia dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah berikrar untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, keselamatan dan ekonomi serta kepentingan bersama yang lain, lapor Sputnik.

Kenyataan bersama yang dipetik oleh Kementerian Luar Rusia selepas mesyuarat menteri luar di sini menyatakan bahawa sepanjang 30 tahun lepas,  hubungan antara Rusia dan ASEAN telah berkembang menjadi perkongsian strategik saling menguntungkan yang disokong oleh dialog dan kerjasama progresif serta menyeluruh.

Penyertaan Rusia ke dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) juga telah mengukuhkan sumbangannya kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan di rantau Asia Pasifik.

"Menggalakkan kerjasama dalam bidang politik-keselamatan, ekonomi, sosial, teknikal, saintifik dan pentadbiran, serta bidang kerjasama lain di mana ASEAN dan Rusia mempunyai kepakaran yang relevan dan kepentingan bersama, termasuk kerjasama maritim dan Dialog ASEAN-Rusia mengenai Isu Berkaitan Keselamatan ICT," kata kenyataan itu.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menggalakkan kerjasama praktikal ASEAN dalam isu kepentingan bersama dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), serta memperdalam kerjasama Rusia-ASEAN dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

--BERNAMA-SPUTNIK

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan