AM

ADLY SANTUNI VETERAN RENJER SARAWAK BERUSIA LEBIH 100 TAHUN

26/07/2024 11:51 PM

SIBU, 26 Julai (Bernama) -- Seorang anggota veteran Renjer Sarawak berusia 101 tahun dan kini menetap di Kapit, merupakan antara anggota veteran disantuni Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam siri Program Peduli Veteran Madani (PVM) selama tiga hari, bermula hari ini di kawasan tengah negeri itu.

Prebet (B) Lulut Aloh yang dilahirkan pada 8 Julai 1923 yang pernah berkhidmat dari 10 Jun 1952 hingga 10 Jun 1953 dan kini menetap di kediamannya di Jalan Bukit Goram, Kapit merupakan veteran tidak berpencen dan menghidapi penyakit strok dan lumpuh.

Beliau mempunyai tiga orang anak terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 59 dan 50 tahun serta seorang anak perempuan berusia 40 tahun.

Adly berkata program tersebut merupakan siri kedua siri jelajah PVM ke Sarawak yang melibatkan lawatan Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan Bintangor dengan memberi tumpuan kepada isu-isu kebajikan dan kesihatan mereka.

“Memang kita tahu bahawa anggota-anggota veteran ini perlukan perkhidmatan kebajikan dan juga kesihatan,” katanya pada sidang media semasa mengunjungi kafe diusahakan salah seorang veteran tentera di Jalan Kampung Datuk di sini petang ini.

Adly berkata selain memberi tumpuan kepada kebajikan veteran, turut dikunjungi ialah veteran yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan, yang kementeriannya akan membantu veteran ini membangunkan keupayaan ekonomi mereka, menerusi  skim bantuan sedia ada.

Sepanjang program tersebut beliau telah menyantuni seramai 20 orang veteran ATM dan mengagihkan 550 Bakul Rahmah dan barangan keperluan lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan