AM

200 PELAJAR INDIA DIHANTAR KE CHINA BELAJAR TVET - AHMAD ZAHID

28/07/2024 05:57 PM

BAGAN DATUK, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menghantar 200 pelajar kaum India mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke China, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata jika sasaran itu berjaya, 200 lagi pelajar kaum India akan dihantar bagi program sama.

“Dalam soal pendidikan kita ‘buta warna’, kita mahu pastikan baik kaum India, Melayu atau Cina, kita bagi keutamaan kepada semua bangsa.

“Kita akan tempatkan pelajar India belajar TVET secara percuma ke China, dan jika mereka berjaya, bila pulang, saya akan ikhtiarkan 200 lagi ke sana,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Parlimen Bagan Datuk, di sini hari ini.

Sebelum ini Ahmad Zahid berkata kerajaan membuka peluang untuk pelajar pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak, mendapat pengalaman belajar TVET di China.

Kerajaan China dilaporkan sebelum ini menawarkan biasiswa percuma kepada 1,000 pelajar Malaysia, untuk menjalani kursus TVET di negara tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata kerajaan juga akan memastikan pelajar cemerlang dari semua kaum, berpeluang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan sekolah cemerlang seluruh negara.

“Kita tidak mahu ada keciciran, mana-mana pelajar yang layak kita akan pastikan mereka berpeluang melanjutkan pelajaran, demi menjamin masa depan dan ekonomi mereka,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 720 pelajar 14 SJKT dari Parlimen Bagan Datuk menerima bantuan sumbangan dari Ahmad Zahid.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan