AM

KPKM HASRAT TINGKAT PENGELUARAN TANAMAN DURIAN MDUR 88

28/07/2024 06:27 PM

KUALA KANGSAR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat memperluas tanaman durian hibrid MDUR 88 sebagai usaha meningkatkan pengeluaran durian untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata varieti durian MDUR 88 yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerima permintaan yang tinggi daripada penggemar raja buah itu setanding dengan durian jenis Musang King.

"Kita mahu memperluas lagi tanaman durian MDUR 88 di negara ini kerana pengeluarannya masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara sebelum kita mengeksportnya.

"Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar menerima ramai pengunjung dari luar seperti China, Thailand, Kazakhstan dan mereka (pengunjung) boleh menerima varieti durian MDUR 88 ini. Jadi, kita yakin (durian MDUR 88) boleh ke pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar yang turut dihadiri Pengarah MARDI Perak Zaiha Zeeti Mohamad Yusob di sini hari ini.

Arthur berkata durian MDUR 88 mempunyai keenakan tersendiri kerana mempunyai tekstur yang halus selain rasa lemak manis membuatkan ia disukai kebanyakan pengunjung.

"Pada pendapat saya, durian MDUR 88 adalah durian paling sedap yang pernah dimakan dan harganya sangat berpatutan di pasaran," katanya.

MDUR 88 merupakan klon durian hibrid yang telah dibangunkan oleh MARDI iaitu hasil kacukan antara induk D10 dengan D24 dan pertama kali diisytiharkan pada 1991.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan