AM

KEMALANGAN MAUT DI TEMERLOH: PEMANDU TRELER DIREMAN EMPAT HARI

28/07/2024 10:49 PM

KUANTAN, 28 Julai (Bernama) -- Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Temerloh yang menyebabkan dua maut manakala tiga lagi cedera pada Sabtu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata lelaki berusia 63 tahun beralamat di Bagan Ajam, Pulau Pinang itu ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif.

“Berkenaan keadaan mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, seorang penumpang Toyota Hilux iaitu kanak-kanak warga China berumur 9 tahun berada dalam keadaan kritikal di ICU kerana mengalami kecederaan di otak, patah paha kanan, bahu kanan dan tulang rusuk kanan. 

“Mangsa akan dihantar ke Hospital Mount Elizabeth Singapura pada kira-kira pukul lapan malam ini manakala dua lagi penumpang Toyota Hilux iaitu warga tempatan berusia 69 tahun dan 65 tahun berada dalam keadaan stabil serta dirawat di HoSHAS,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata setakat ini, mayat pemandu kenderaan pacuan empat roda warga tempatan berusia 79 tahun sudah dituntut manakala jasad penumpang lelaki warga China berusia 46 tahun belum dituntut dan berada di Forensik HoSHAS. 

Insiden yang berlaku pada 1.20 tengah hari itu membabitkan pertembungan antara kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah treler.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan