AM

RKT SUNGAI ASAP 'BERUBAH WAJAH' MENJELANG 2028 

29/07/2024 02:32 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

GUA MUSANG, 29 Julai (Bernama) -- Projek Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Sungai Asap yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bakal merubah landskap kawasan berkenaan menjelang 2028.

Pengurus Besar KESEDAR W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata projek pembinaan seluas 68.75 hektar dengan peruntukan sebanyak RM20.5 juta itu dapat menyediakan pembangunan infrastruktur dan perumahan mampu milik kepada kira-kira 650 penduduk setempat terutama generasi kedua dan ketiga peneroka yang rata-ratanya bekerja sendiri serta buruh.

"Kerajaan ketika ini sudah meluluskan kebenaran merancang untuk pembangunan PPD di RKT Sungai Asap meliputi pelbagai aspek kemudahan infrastruktur dan dijangka siap menjelang 2028.

"Projek ini merupakan satu daripada usaha KESEDAR untuk menyediakan kediaman kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki rumah kerana beberapa faktor seperti geran asal tanah dan penukaran hak milik tanah.

"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur di kawasan terbabit adalah termasuk jalan, loji rawatan kumbahan, taman permainan, dewan serbaguna, masjid dan padang," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

W Muhd Rahimi berkata projek di PPD Sungai Asap juga turut menyediakan lot rumah sebuah sebanyak 16 unit, lot rumah berkembar (36 unit), lot rumah teres (32 unit), lot rumah kedai (35 unit), kawasan apartment dan satu lot pasar tani.

"Apabila wujudnya PPD di kawasan ini, banyak peluang pekerjaan dapat dinikmati penduduk sekitar untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

"Kita sentiasa komited untuk meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk sekali gus dapat membasmi kemiskinan sejajar dengan Dasar Pembangunan Negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM9.2 juta, merangkumi 36 projek untuk menaik taraf jalan perhubungan serta pembaikan kerosakan kecil kemudahan awam dan bekalan air di kampung seluruh wilayah KESEDAR tahun ini.

"Pelbagai program turut disediakan memfokuskan kepada penyediaan infrastruktur yang sempurna dan lengkap, peningkatan ekonomi serta pembangunan modal insan masyarakat luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan