AM

KPKT PERUNTUK RM14 JUTA BINA SEMULA PASAR PASIR PINJI IPOH

28/07/2024 01:25 PM

IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan RM14 juta bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji di sini, yang bakal menempatkan 214 peniaga.

Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata pembinaan semula pasar yang dijangka siap pada 2027 itu, bukan sahaja menjana pendapatan ekonomi komuniti malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan.

“Hari ini saya mengumumkan peruntukan RM14 juta untuk Majlis Bandaraya Ipoh melaksanakan pembinaan pasar lima bintang ini dan saya yakin ia akan menjadi kebanggaan seluruh warga Ipoh.

“Pasar ini mempunyai beberapa ciri pasar baru di mana ia merupakan pasar dengan bangunan hijau pertama yang mempunyai indeks bangunan hijau, bangunan mesra dan lestari alam,” kataya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tapak Sementara Pasar Pasir Pinji di sini hari ini.

Nga berkata setakat ini pemilihan reka bentuk bagi pasar berkenaan telah pun siap dan projek pembinaan akan mula dilaksanakan selepas proses pemilihan tender tamat 4 Ogos ini.

“Ada cara pemikiran baru, ada model baru infrastruktur awam di negara kita…dan kini kita menyasarkan untuk membina semula pasar Menglembu dan Buntong, keduanya ada sejarah lebih 50 tahun dan jika keduanya boleh disiapkan, saya percaya Ipoh akan menjadi bandar raya dengan pasar yang paling menarik di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata KPKT menyasarkan dalam tempoh sepuluh tahun, lebih 50,000 projek infrastruktur awam mampu disiapkan sepenuhnya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

“Waktu itu kita lihat Malaysia akan mempunyai landskap yang baru dengan pasar, tandas, longkang, jalan, lampu semua akan nampak penambahbaikan yang ketara,” katanya.

Terdahulu, tapak sementara Pasar Pasir Pinji telah mula dibina pada 5 Sept 2023 dengan peruntukan RM1.48 juta di atas tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang merupakan lokasi sementara bagi peniaga sebelum pasar sebenar siap pada tahun 2027.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan