JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN PULAU PINANG LUPUS 49,488 BARANG RAMPASAN BERNILAI RM2.34 JUTA

29/07/2024 03:00 PM

BUKIT MERTAJAM, 29 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan 49,488 unit pelbagai barangan rampasan bernilai RM2.34 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata kesemua barangan itu hasil rampasan daripada 59 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“Kesemua kes terbabit telah selesai proses pendakwaan dan kompaun, seterusnya mendapat kebenaran untuk dilupuskan.

“Ekshibit yang dilupuskan terdiri daripada pelbagai seluar, baju, kasut, topi, produk makanan dan penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik berjenama tiruan,” katanya pada sidang media program Pelupusan Eksibit Mega KPDN Pulau Pinang di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang dekat Bukit Minyak di sini hari ini.

Beliau berkata pelupusan dari Januari hingga Jun itu adalah tertinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu sepanjang tahun lepas pihaknya melupuskan pelbagai barangan rampasan bernilai RM898,155.88 membabitkan 94 kes manakala pada 2022 pelbagai barangan bernilai RM541,142.45 melibatkan 152 kes.

Jegan berkata sepanjang tahun ini Bahagian Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang mempergiat aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, barang tiruan, halal, sewa beli, skim antipiramid, jualan langsung, penipuan dalam talian dan sebagainya. 

“Bermula 1 Jan hingga 30 Jun lepas, KPDN Pulau Pinang telah memeriksa 22,143 premis dan 233 tindakan kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM1.58 juta. 

“Kompaun bernilai RM94,600 telah dikeluarkan melibatkan 124 kes manakala tiga kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM52,000,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan