EKONOMI

WTCKL TERIMA ANUGERAH PUSAT KONVENSYEN DAN PAMERAN TERBAIK DI TIA 2024

29/07/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menerima Anugerah Pusat Konvensyen dan Pameran Terbaik pada majlis Anugerah Industri Pelancongan (TIA) 2024 yang berlangsung di sini pada Jumaat lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pencapaian tersebut menunjukkan komitmen WTCKL terhadap kecemerlangan mengikut penanda aras global dalam menyediakan ruang dan perkhidmatan bagi pelbagai jenis acara.

“Kami tekad untuk terus berinovasi dan menaikkan standard industri dalam memastikan setiap acara yang diadakan di WTCKL berimpak tinggi. Kecemerlangan ini membuktikan usaha keras dan dedikasi pasukan kami serta sokongan teguh daripada semua pemain industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anugerah itu juga membolehkan WTCKL berkembang maju dan berdaya saing khususnya dalam mempromosikan segmen pelancongan Muslim sekali gus membuatkan Malaysia terus dikenali sebagai hab pelancongan di peringkat antarabangsa. 

TIA 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) bersama Majalah Santai Travel dan Persatuan Fesyen, Model dan Ratu Cantik Malaysia (MFMPA) bertujuan untuk mengiktiraf pertubuhan dan individu yang telah memberi sumbangan signifikan kepada industri pelancongan negara.

Program itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Anugerah Pusat Konvensyen dan Pameran Terbaik berkenaan disampaikan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan