POLITIK

GAGAL SERAH SURAT BALAS RASMI, NASIB ADUN REMBIA DITENTUKAN MINGGU DEPAN

02/08/2024 12:37 AM

MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum akan mengadakan perbincangan bersama pegawai undang-undang kerajaan negeri minggu depan berhubung ‘nasib’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata tindakan itu diambil selepas Muhammad Jailani gagal menyerahkan surat balas rasmi dalam tempoh dua minggu berhubung tindakan beliau menyertai PAS.

“Tempoh menyerahkan surat balas rasmi berkenaan tamat petang tadi... saya akan mengadakan mesyuarat minggu depan sejurus pulang dari lawatan kerja di Australia pada 8 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Pada 16 Julai lepas, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di bangunan Parlimen mengesahkan Muhammad Jailani, yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO, telah diterima menjadi ahli parti itu pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti kerana Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan perkara itu diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas ADUN Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos 2023, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Keahlian Muhammad Jailani dalam UMNO digantung selama enam tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan