AM

ASEAN PERLU KERJASAMA ATUR RANGKA KERJA KAWAL SELIA INTERNET: FAHMI

30/07/2024 09:13 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 29 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu bekerjasama dalam meneroka rangka kerja kawal selia yang lebih ketat bagi memastikan ekosistem Internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga di rantau ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perbincangan mengenai rangka kerja itu kini diketuai oleh Thailand dan akan diteruskan apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan.

Menurut Fahmi, cadangan itu mendapat sokongan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura Josephine Teo dalam mesyuarat dua hala pada Isnin.

"Mesyuarat ini bukan sahaja mendekatkan kedua-dua kementerian tetapi juga menunjukkan usaha iaitu kami berdua akan menyampaikan pandangan yang sama mengenai isu ini ke peringkat ASEAN terutama apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.

"Ini adalah langkah positif dan akan menjadikan Internet dan ekosistem di Malaysia, Singapura dan rantau Asia Tenggara lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata Teo juga mengalu-alukan langkah Malaysia memperkenalkan rangka kerja kawal selia baharu berkaitan Internet selamat untuk kanak-kanak dan keluarga mulai 1 Ogos yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Melalui rangka kerja baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Singapura mempunyai rangka kerja kawal selia untuk platform media sosial di negara ini sejak 2022.

Pada Isnin, Fahmi juga melawat Pusat Ketelusan dan Akauntabiliti (TAC) TikTok di ibu pejabatnya di sini.

Fahmi dan delegasi Malaysia, yang terdiri daripada pegawai Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, telah diberi taklimat mengenai operasi TikTok, termasuk garis panduan komuniti dan sistem cadangannya.

Menteri itu juga mengalami simulasi stesen kerja kesederhanaan kandungan di TikTok.

TAC Singapura dibuka akhir tahun lepas dan merupakan yang pertama di Asia Pasifik. Sehingga kini, TikTok telah menjadi tuan rumah kepada lebih 300 tetamu daripada kumpulan masyarakat sivil, pengawal selia dan rakan kongsi industri.

Fahmi berada di Singapura untuk lawatan kerja selama tiga hari, kebanyakannya untuk bertemu pengendali platform media sosial untuk mengadakan perbincangan berkaitan isu seperti penipuan, buli siber, pornografi dan ladang troll.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan