DUNIA

BIDEN GESA PEMBAHARUAN MAHKAMAH AGUNG, TERMASUK HAD PENGGAL 18 TAHUN

30/07/2024 02:30 AM

WASHINGTON, 29 Julai (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Isnin melancarkan rancangan untuk memperbaharui Mahkamah Agung, termasuk had penggal bagi sembilan hakim dan kod etika yang boleh dikuatkuasakan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebenarnya, membuat perubahan pada fungsi mahkamah tertinggi ini adalah proses yang berat. Namun, dengan menonjolkan rancangan itu, Biden menjadikan mahkamah berkenaan sebagai isu utama dalam bulan-bulan terakhir perlumbaan 2024.

Kedudukan mahkamah ini dalam kalangan masyarakat telah merosot sepanjang tahun. Ia semakin dilihat bukan sebagai pemeriksaan yang saksama terhadap kuasa cabang eksekutif dan perundangan, tetapi sebagai institusi partisan lain di Washington.

Putih Rumah menyatakan bahawa hakim Mahkamah Agung yang dilantik oleh presiden dan disahkan oleh Senat, telah membatalkan "duluan undang-undang yang telah lama wujud, yang melindungi hak-hak asasi".

Ia menyatakan bahawa majoriti konservatif mahkamah sebanyak 6-3 "telah merosakkan perlindungan hak-hak sivil, menghapuskan hak wanita untuk memilih dan kini memberikan presiden kekebalan yang luas daripada pendakwaan atas jenayah yang dilakukan semasa berkhidmat," merujuk kepada keputusan terkini yang mempengaruhi kes jenayah bekas presiden Donald Trump.

Pembaharuan Biden akan melucutkan hakim daripada pelantikan seumur hidup. Presiden mencadangkan had penggal 18 tahun.

Dalam sebuah artikel pendapat yang ditulis untuk The Washington Post, Biden menyatakan bahawa had masa akan "mengurangkan kemungkinan mana-mana presiden tunggal secara radikal mengubah komposisi mahkamah untuk generasi akan datang".

Pembaharuan utama kedua ialah apa yang Putih Rumah panggil "peraturan tingkah laku dan etika yang mengikat boleh dikuatkuasakan" untuk sembilan hakim itu.

Ia akan memerlukan mereka untuk mendedahkan hadiah, menjauhi aktiviti politik dan menarik diri daripada kes yang mereka atau pasangan mereka mempunyai konflik kepentingan.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan