SUKAN

PARIS 2024: AARON-WOOI YIK AKUR TEWAS KEPADA WEI KENG-WANG CHANG

30/07/2024 06:50 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 29 Julai (Bernama) -- Tembok Besar China nyata sukar untuk dirobohkan oleh beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tumbang kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi terakhir kumpulan di Sukan Olimpik Paris 2024 malam ini. (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Aaron-Wooi Yik, pemenang gangsa di Olimpik Tokyo 202,  terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara Kumpulan A selepas tewas 22-24, 14-21 kepada pasangan nombor satu dunia itu pada pertarungan selama 42 minit.

Beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada Sabtu sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15 semalam.

Pada pertemuan dengan Wei Keng-Wang Chang, Aaron-Wooi Yik selaku pasangan nombor empat dunia itu melakukan usaha berani pada set pertama untuk mengejar daripada ketinggalan lima mata kepada 20-20 tetapi gagal melakukan penyudahan.

Kembali ke set kedua, Wei Keng-Chang, penyandang juara Asia, kekal mengawal perlawanan untuk melebarkan rekod kemenangan menentang lawan mereka kepada tujuh dalam sembilan pertemuan.

“Kami menikmati perlawanan tanpa tekanan dan menganggap ini sebagai perlawanan latihan kerana kami masih mempunyai beberapa perlawanan lagi.

“ Sudah tentu, kami berharap untuk mendapat warna pingat yang berbeza (selepas memenangi gangsa di Tokyo 2020), tetapi kami seperti melangkah setapak demi setapak,” kata Aaron selepas perlawanan.

Sementara itu, Wooi Yik berkata menentang pilihan utama itu sentiasa menjadi tugas berat dan adalah penting bagi mereka memperbaiki kelemahan menjelang peringkat kalah mati bermula, Khamis.

Kekalahan itu bermakna Aaron-Wooi Yik akan mendapat undian suku akhir yang lebih sukar kerana terpaksa berdepan dengan salah satu juara kumpulan.

Undian bagi peringkat lapan terakhir akan diadakan selepas selesai perlawanan peringkat kumpulan beregu lelaki, esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan