AM

PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN PERINGKAT PERAK DI DATARAN PUTRA LUMUT PADA 3 OGOS

30/07/2024 03:43 PM

IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Perak akan menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri di Dataran Putra, Lumut, Sabtu ini.

JaPen Perak dalam hantaran menerusi laman Facebook memaklumkan majlis bermula 7 pagi itu dijadual dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya 6,700 Langkah Kemerdekaan, Jualan Rahmah, persembahan busker atau penghibur jalanan, pertandingan mewarna dan pameran agensi kerajaan.

“Turut diadakan Persembahan Khas Malaysia MADANI Jiwa Merdeka dan Persembahan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” menurut hantaran itu.

Selain itu, akan diadakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bagi negeri itu yang akan melalui sembilan checkpoint, lapan pit stop dan menempuh jarak perjalanan sejauh 700 kilometer.

21 Julai lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini akan dianjurkan di Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia pula berlangsung di Sabah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan