AM

MAJLIS BANDARAYA IPOH AKAN PERKENAL BATIK PERAK SEBAGAI PRODUK ISTIMEWA BAHARU

27/07/2024 04:09 PM

IPOH, 27 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengetengahkan Batik Perak sebagai produk istimewa terbaharu yang dilihat mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata penggunaan tanah liat akan dijadikan salah satu daripada bahan alternatif untuk menghasilkan Batik Perak.

"Saya tidak mahu mendedahkan lebih lanjut mengenai Batik Perak ini kerana kita akan memperincikan lebih lanjut pada satu majlis bulan depan. 

"Selama ini orang kenal Ipoh dengan pelancongan gastronomi, ekopelancongan atau bandar kreatif, jadi kita mahu memperkenalkan batik dengan jenama Batik Perak di bawah pelancongan budaya,"  katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mural 'City of Music' Bandar Kreatif Ipoh UNESCO sempena sambutan ulang tahun ke-2 Lorong Seni @ Lorong Panglima di sini hari ini.

Rumaizi berkata setakat ini sebanyak 12 pengusaha batik tempatan terlibat dalam proses pembuatan Batik Perak yang akan menampilkan pelbagai motif dan corak.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan Batik Perak dapat menembusi pasaran antarabangsa antaranya China, Vietnam serta Thailand.

Sementara itu, lebih 3000 warga Ipoh telah memeriahkan sambutan berkenaan hari ini dengan dihidangkan pelbagai acara menarik seperti jualan kraftangan, karikatur, jualan kopi, pertandingan mencari bakat, demonstrasi Labu Sayong dan lukisan potret, pertandingan batu seremban serta pertandingan mewarna.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan