AM

15 LAGU PATRIOTIK BERGEMA SEMPENA HARI PAHLAWAN 2024

31/07/2024 12:14 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Mempertaruhkan 15 lagu patriotik pada Istiadat Perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2024, pasukan pancaragam gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membangkitkan patriotisme dalam kalangan pasukan keselamatan dan tetamu yang hadir.

Pancaragam yang disertai 120 anggota daripada ATM dan PDRM itu mula menyuntik semangat cintakan negara di Dataran Pahlawan di sini hari ini, seawal 7.30 pagi serta memainkan lagu-lagu yang berlainan ketika ketibaan tetamu kehormat dan tetamu diraja.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Muzik dan Kesenian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt Kol Mohd Rizal Mohd Noor berkata setiap ketibaan tetamu akan diiringi lagu berbeza serta signifikan dengan bidang tugas masing-masing.

Beliau berkata aspek pemilihan lagu telah dilakukan dengan teliti agar bersesuaian dengan Hari Pahlawan dan mesej yang ingin disampaikan.

Menyenaraikan lagu yang dimainkan, Mohd Rizal berkata pasukan pancaragam gabungan memainkan lagu Polis Sedia Berkhidmat semasa ketibaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, disusuli dengan lagu Tentera Benteng Pertahanan Negara apabila Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman tiba pada sambutan itu.

Beliau berkata ketika ketibaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pasukan pancaragam gabungan itu mengalunkan lagu Sang Saka Biru, manakala lagu Terbang Helang pula dimainkan sejurus ketibaan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kita mainkan lagu Gagah Setia semasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tiba sebelum lagu Berjaya dan Darah Satria dimainkan semasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba.

“Lagu-lagu ini dimainkan juga sementara menanti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah,” katanya yang telah berkhidmat di TUDM selama 31 tahun.

Mengenai pemilihan lagu, anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata alunan lagu-lagu patriotik berkenaan sememangnya biasa dimainkan semasa acara seumpama itu yang bukan sahaja dihadiri barisan pimpinan pasukan keselamatan negara, malah tetamu diraja juga.

Bapa kepada dua anak itu berkata lagu-lagu berkenaan secara langsung turut mengimbas nostalgia pesara daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang terlibat dalam perbarisan istiadat itu, ketika berkhidmat dalam pasukan.

Sementara itu, Band Sarjan Mejar Pegawai Waran I Madzain Medol berkata pengalaman mengikuti kursus Dram Mejar selama enam bulan di Army Education Corps Training College and Centre Pachmarhi, India digunakan dalam membantu Mohd Rizal mengendalikan pancaragam berkenaan.

“Apa yang saya belajar di pusat latihan yang terkenal dengan tahap disiplin yang tinggi ini, saya kongsi dengan kawan-kawan dalam pancaragam dari segi lontaran muzik, melodi dan sebagainya,” kata anak kelahiran Membakut, Sabah yang berusia 41 tahun itu.

Sambutan Hari Pahlawan adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan yang telah menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Ia disambut pada setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak 1968.

--  BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan