JENAYAH & MAHKAMAH

BELUM ADA KEPUTUSAN MENGENAI REPRESENTASI NAJIB UNTUK GUGURKAN PERTUDUHAN

31/07/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa Pejabat Peguam Negara belum memutuskan mengenai representasi Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd. 

Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu hakim K.Muniandy bahawa representasi itu masih tertangguh.

“Kedudukan masih sama, sehingga kini saya tidak melihat sebarang keputusan (berhubung surat representasi) dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi saya harap tarikh pengurusan kes ditetapkan sementara tempoh interim. Jika wujud sebarang perkembangan, saya akan memaklumkan mahkamah mengenainya,” jelas Mohd Ashrof.   

Sementara itu peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada mahkamah untuk mengosongkan tarikh perbicaraan terdahulu kepada September tahun ini untuk memberi laluan kepada kes tuntutan sivil SRC yang masih berlangsung di sebuah lagi Mahkamah Tinggi.     

“Kami mohon supaya tarikh pada September ini dikosongkan, kerana kami sedang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga kes SRC dalam masa yang sama.

“Bagi kes sivil SRC, alasan yang diberikan ialah kerana kes itu sudah berlanjutan agak lama, dan hanya seorang sahaja plaintif akan dipanggil. Hakim dalam kes SRC juga mahu segera menamatkan pendengaran kes itu,” kata Muhammad Shafee.  

Hakim K. Muniady kemudian bersetuju bahawa pendengaran kes tidak dibuat pada September dan memutuskan 19 hingga 23 Mei dan 21 April hingga 25 April 2025 sebagai tarikh baharu perbicaraan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 26 Feb, 2025. 

Pada 3 Feb 2019 bekas perdana menteri itu telah dibicarakan atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan menerima sejumlah RM27 juta melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai, 2014. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pada 2 Sept 2022, Najib memfailkan petisyen bagi pengampunan diraja, yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta sahaja. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan