JENAYAH & MAHKAMAH

KELUARGA BABY SYIFAA HARUNGI DETIK SUKAR SEPANJANG INKUES

31/07/2024 07:07 PM

SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Keluarga Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau dikenali sebagai 'Baby Syifaa,' mengharungi detik yang sukar sepanjang prosiding inkues kematian bayi mereka berusia 15 bulan dan kini bersyukur akhirnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Anida Idrus, 43, berkata meskipun tidak mampu mengubah kenyataan bahawa Baby Syifaa sudah tiada, keluarganya tetap bertekad untuk mendapatkan keadilan buat anak mereka.

"Keputusan inkues hari ini memberikan kepuasan apabila mendengar Koroner menyatakan keadaan anak saya adalah 'brought in death' (merujuk kepada situasi seseorang itu dibawa ke pusat perubatan dalam keadaan sudah tidak bernyawa) ketika tiba di klinik.

"Alhamdulillah, walaupun (terpaksa berdepan) tempoh yang panjang, kami akhirnya memperoleh pembelaan untuk Baby Syifaa. Semua ini adalah untuk Syifaa. Tidak ada hari yang mudah, anak saya telah tiada dan tiada apa yang dapat mengembalikannya tetapi saya sudah lama reda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding itu.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan bahawa punca kematian Baby Syifaa, yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah taska di Sendayan dua tahun lepas, adalah disebabkan tekanan pada leher.

Koroner Datin Surita Budin berkata kematian bayi itu bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan oleh keadaannya yang tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.

Peguam Gaithri Thomas, yang mewakili keluarga bayi itu, pula berkata keputusan hari ini merumuskan bahawa pengasuh yang juga saksi ke-19 telah cuai dengan meninggalkan mangsa tanpa pengawasan selama dua jam.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan keluarga mangsa mengenai tindakan lanjut termasuk kemungkinan tuntutan sivil untuk mendapatkan keadilan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Baby Syifaa ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Feb 2022.

Seramai 28 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu bapa mangsa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 Sept 2022.

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan