AM

OPS DURI: 14 GERAI DURIAN DIPERIKSA DALAM TEMPOH MEI-JULAI

31/07/2024 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak 41 gerai menjual durian diperiksa dalam Ops Duri bagi sepanjang tahun ini bermula Mei hingga Julai, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman.

Beliau berkata jumlah itu termasuk pemeriksaan di tiga premis sekitar Jalan Mergastua, Kepong Baru hari ini.

“Tahun ini, empat aduan diterima melibatkan isu tiada tanda harga, iklan yang mengelirukan dan menjual durian secara dalam talian. Namun, tiada sebarang kes dihasilkan tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 2018 hingga 2024 sebanyak 37 pemeriksaan telah dilakukan di sekitar ibu negara dan hari ini pemeriksaan menumpukan kepada pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Pada setiap tahun sekitar Mei hingga Julai banyak lambakan buah durian di gerai dan premis sekitar Kuala Lumpur,  maka terdapat aduan yang mendakwa segelintir penjual mengambil kesempatan dengan tidak meletakkan tanda harga, menipu berat timbangan dan membuat iklan umpanan atau mengelirukan. 

Sementara itu, Mohd Sabri berkata sebanyak 57 kes dicatatkan bagi kesalahan berkaitan penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi tahun ini dengan jumlah kompaun sebanyak RM16,400.

Beliau berkata bagi kesalahan berkaitan alat timbangan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 merekodkan 64 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM21,000.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan