AM

KERAJAAN AKAN BINA INSTITUSI TVET DI GUA MUSANG - AHMAD ZAHID

30/07/2024 08:47 PM

GUA MUSANG, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan membina Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Gua Musang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan institusi TVET itu, bertujuan memberikan latihan dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang bersekolah dan membesar di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), di daerah itu.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kursus yang dijalankan TVET mendapat perhatian di seluruh negara, dalam pelbagai industri.

“Daripada 100 orang yang sertai TVET, sebanyak 98.7 peratus mendapat peluang pekerjaan terus dan segera, daripada pihak industri.

“Kesemua mereka akan dibooking atau 'ditempah’ daripada pihak industri, kerana kursus anjuran TVET amat bersesuai dengan permintaan majikan, untuk bekerja di seluruh negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa, Sungai Asap, KESEDAR, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Kesedar telah meluluskan peruntukan lebih RM40 juta, untuk melaksanakan dua Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) di sini. 

Beliau berkata PPD dikhususkan kepada penduduk di wilayah Kelantan Selatan, yang berkonsepkan pembangunan penempatan secara bersepadu iaitu pembangunan perumahan desa secara tersusun yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

“Apa yang saya rancangkan pada hari ini iaitu projek PPD Kesedar bahawa kawasan Paloh, Gua Musang telah diperuntukkan RM20.5 juta.

“PPD kedua juga telah diluluskan dan projek PPD Kesedar Sungai Asap juga akan diberi peruntukan sebanyak RM20.7 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan