DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH SELEPAS FED KEKALKAN KADAR FAEDAH

01/08/2024 11:03 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis walaupun prestasi semalaman di Wall Street adalah positif, berikutan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah.

Fed turut memberi petunjuk mengenai kemungkinan pelonggaran dasarnya pada September jika inflasi turun.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.12 mata kepada 1,624.45, daripada 1,625.57 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,625.87.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 309 berbanding 143, manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,662 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung,

 Jumlah dagangan sebanyak 236.64 juta unit bernilai RM139.96 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan prestasi semalaman di Wall Street turut diterajui oleh Nasdaq susulan prestasi kewangan kukuh pembuat cip utama yang menaikkan saham semikonduktor.

“Memandangkan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS) melaporkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan, ini mungkin mendorong minat belian yang tinggi terhadap sektor teknologi tempatan.

“Aktiviti dagangan mungkin menumpukan tema pusat data. Sementara itu, kami masih memilih saham berkaitan Sarawak kerana momentumnya sedang meningkat,” jelasnya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Menurut Malacca Securities memandangkan CelcomDiGi menyerahkan cadangan untuk menjadi pilihan bagi membina rangkaian 5G kedua Malaysia, ini mungkin melonjakkan minat terhadap saham telekomunikasi.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng bagaimanapun menjangkakan aktiviti pembelian berterusan.

“Ini mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh di Wall Street dalam tempoh semalaman sekali gus menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,625 hingga 1,640.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan pula berkata FBM KLCI bersedia untuk meneruskan kenaikannya, disokong oleh pendirian kukuh Rizab Persekutuan AS dalam mengurangkan kadar faedah seawal September ini.

Kaunter teknologi dijangka membuat kemunculan semula yang positif, didorong oleh laporan mengagumkan daripada Meta Platforms Inc dan Advanced Micro Devices, Inc.

“Kami menjangkakan aliran masuk berterusan daripada pembeli asing, seterusnya mengukuhkan sentimen pasaran.

“Indeks penanda aras mungkin berjulat di antara 1,620 mata dengan 1,640 mata, mencerminkan unjuran pasaran yang positif,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.22 manakala Maybank, Tenaga Nasional, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM10.22, RM14.08, RM7.43 dan RM6.30.

Bagi saham aktif, Velesto Energy naik 1.0 sen kepada 22.5 sen, Cape EMS naik 2.5 sen kepada 71 sen, dan Bintai Kinden menokok setengah sen kepada 13 sen, manakala XOX dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah pada 37.5 sen dan 1.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 2.58 mata kepada 12,519.79, Indeks FBMT 100 menambah 0.27 mata kepada 12,109.43, Indeks FBM 70 meningkat 31.98 mata kepada 18,520.06, dan Indeks FBM ACE menokok 45.12 mata kepada 5,706.50 namun, Indeks FBM Emas Syariah susut 3.88 mata kepada 12,758.58.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.22 mata kepada 18,182.30, indeks Pembinaan naik 0.54 mata kepada 302.34.

Sebaliknya, Indeks Penjagaan Kesihatan turun 7.44 mata kepada 2,057.94 dan Indeks Perladangan susut 4.93 mata kepada 7,198.71.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan