EKONOMI

KELINGTON GROUP BELI BAKI KEPENTINGAN DALAM ACE GASES PADA HARGA RM35.69 JUTA

29/07/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kelington Group Bhd mengadakan perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) untuk membeli 2.53 juta saham biasa dalam Ace Gases Sdn Bhd pada harga RM35.69 juta.

Dalam maklumannya di Bursa Malaysia hari ini, Kelington berkata pembelian tersebut mewakili baki 9.29 peratus kepentingan ekuiti dan akan membolehkan syarikat itu mengawal sepenuhnya Ace Gases.

"SSA tersebut akan diselesaikan melalui pertimbangan tunai sebanyak RM10.07 juta dan penerbitan 7.59 juta saham biasa baharu dalam Kelington pada harga terbitan RM3.37 sesaham," katanya.

Kelington berkata pembelian tersebut akan memberikannya fleksibiliti yang lebih besar dalam merancang dan melaksanakan strategi jangka panjang bagi perniagaan dan perkhidmatannya, serta meningkatkan potensi pertumbuhannya.

"Berdasarkan prestasi kewangan Ace Gases pada beberapa tahun kebelakangan ini dan liputan pasaran geografi yang pelbagai, Kelington mungkin berpotensi untuk mengejar peluang pertumbuhan tambahan dalam industri gas perindustrian," katanya.

Kelington berkata pembelian yang dicadangkan itu dijangka selesai pada separuh kedua 2024.

UOB Kay Hian telah dilantik sebagai penasihat untuk urus niaga berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan