AM

LESEN MEDIA SOSIAL TIDAK LIBATKAN PENGGUNA - FAHMI

01/08/2024 05:45 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenalkan hari ini dan berkuat kuasa mulai tahun depan, tidak melibatkan pengguna platform media sosial berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata sebaliknya perlesenan itu hanya terpakai kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial, justeru pengguna tidak perlu untuk mendapatkan lesen tersebut.

“Ada pihak-pihak yang menyatakan pandangan yang jauh lari daripada realiti proses sebenar pelesenan. Saya ingin jelaskan ia terpakai kepada pemberi perkhidmatan sahaja, bukan kepada pengguna atau pempengaruh.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan terbitkan satu FAQ untuk memberi penjelasan berhubung sistem perlesenan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata dalam tempoh 1 Ogos sehingga 31 Dis ini, MCMC juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh, termasuk wakil platform media sosial dan sistem pesanan internet untuk mengenal pasti code of conduct dan tindakan akibat kegagalan memiliki lesen atau ingkar arahan.

Beliau berkata kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penyedia platform media sosial dan pesanan Internet dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588), yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

“Mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 untuk tiap sehari atau sebahagian dari hari tersebut selagi mana kesalahan itu berterusan,” katanya.

Fahmi berkata objektif utama pelaksanaan perlesenan perkhidmatan media sosial itu berdasarkan kepada tiga faktor iaitu penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, namun pada masa yang sama hak serta kebebasan bersuara tidak akan disekat.

“Jadi apabila platform-platform ini dilesenkan, mereka perlu menguna pakai sistem yang mampu untuk membanteras jenayah yang saya sebutkan tadi. Itu adalah niat utama kerajaan melesenkan platform ini dan sejujurnya kebebasan bersuara tidak akan disentuh,” katanya.

Ditanya sama ada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet telah diberikan taklimat mengenai langkah pelesenan itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi perbincangan pada Februari lepas, melibatkan 27 pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Artikel 19 dan Majlis Peguam.

Beliau berkata ini membuktikan bahawa kerajaan sangat terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan dalam melindungi hak rakyat, hak bersuara dan hak menggunakan Internet dengan selamat.

Mengulas lanjut, beliau berkata sesi libat urus akan diteruskan bertujuan meningkatkan pemahaman dalam kalangan rakyat mengenai langkah pelesenan itu yang merupakan tanda keseriusan kerajaan dalam memastikan Internet selamat digunakan oleh kanak-kanak dan keluarga.

Pada 27 Julai lepas, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Jan 2025, susulan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial diperkenal bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan