JENAYAH & MAHKAMAH

196 MANGSA TERJEJAS RUMAH ROBOH DI SEMPORNA - POLIS

01/08/2024 11:19 PM

SEMPORNA, 1 Ogos (Bernama) -- Seramai 196 mangsa membabitkan 30 keluarga terjejas selepas rumah atas air yang didiami mereka di Kampung Simunul Lorong 3 di sini roboh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata sebanyak 30 rumah roboh iaitu 28 buah membabitkan 190 mangsa tempatan manakala dua lagi didiami enam warga asing.

"Kejadian berlaku pada 10.15 pagi bermula dengan dua rumah roboh disusuli rumah lain ekoran struktur rumah yang dibina berdekatan dan bersambung antara satu sama lain," menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian rumah roboh itu dipercayai berpunca daripada angin kuat dan ombak besar pada 8 Julai lepas yang menyebabkan struktur dua rumah menjadi condong.

Selain itu, Mohd Farhan berkata pihaknya turut menerima 33 laporan berhubung insiden rumah roboh dan kerugian dialami oleh mangsa untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan