AM

PEMBUNUHAN ISMAIL HANIYEH: KERAJAAN TUNTUT PENJELASAN META TURUNKAN HANTARAN PM

01/08/2024 07:55 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan meminta pihak Meta Platforms Inc (Meta) memberi penjelasan, kenapa hanya hantaran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Awar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh sahaja yang menjadi sasaran sehingga diturunkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan kesal dengan tindakan penurunan tersebut dan sedang menantikan penjelasan sama ada ia dibuat pihak Meta secara automatik atau berdasarkan kepada aduan diterima daripada orang ramai. 

"Semua platform media sosial mempunyai tatacara atau community guidelines, standard sendiri, dan mereka mungkin melakukan tindakan penurunan hantaran (dibuat) berdasarkan garis panduan masing-masing. Kita akan tunggu penjelasan pihak Meta," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat ini belum ada organisasi media yang memuat naik hantaran Perdana Menteri mengenai pembunuhan Ismail Haniyeh atau perbualan dengan wakil sayap Hamas diturunkan, selain Bernama Radio.

“Sekiranya ada rakan media yang mengalami (hantaran diturunkan) sila maklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kembalikan hantaran itu,” katanya. 

Mengenai pembunuhan kejam Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, Fahmi berkata kerajaan menyifatkan insiden itu sebagai satu usaha untuk mensabotaj proses pendamaian dan gencatan senjata yang sedang diusahakan.

“Semalam mesyuarat Jemaah Menteri secara sebulat suara mengecam pembunuhan Haniyeh dengan cara yang begitu kejam dan biadab sekali,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan akan menghantar ketua perwakilan Malaysia bagi menghadiri majlis pengebumian Haniyeh di Qatar hari ini.

“Jemaah Menteri tidak dapat menghantar wakil ke pengebumian Haniyeh kerana ia akan diadakan hari ini, jadi tak sempat. Jadi akan ada Malawakil akan hadir bagi mewakili kerajaan,” katanya.

Terdahulu, media Iran melaporkan bahawa Haniyeh dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan, semalam.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan