AM

ROBIN GUHA THAKURTA DILANTIK KETUA POLIS DAERAH SABAK BERNAM

01/08/2024 04:40 PM

SUNGAI BESAR, 1 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Unit Soal Siasat (D6A) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Robin Guha Thakurta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sabak Bernam baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam DSP Khalid Mohamad yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah berkenaan bermula 13 Mei lepas.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sabak Bernam yang berlangsung di Dewan Iltizam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam itu disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein dalam ucapannya berkata pelantikan Robin itu selaras dengan arahan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan polis oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 4 Julai.

Beliau yakin Robin mampu menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komited dalam memastikan keselamatan dan keamanan daerah berkenaan.  

“Kenaikan pangkat ini pastinya datang seiring dengan tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar untuk digalas. Kita jangan cepat berasa selesa dengan cara kerja sedia ada dan perlu bergerak ke hadapan.

“Segala kritikan harus dijadikan teladan untuk melakukan tugas dengan penuh dedikasi serta dijadikan sebagai pemangkin untuk Polis Diraja Malaysia kekal berdiri teguh,” katanya.

Robin, 59, yang berasal dari Kedah mempunyai pengalaman luas dan telah berkhidmat kira-kira 32 tahun dalam pasukan polis, selain pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam di Johor serta Ketua Bahagian Siasatan dan Penugasan Trafik IPD Seremban, Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan