AM

LOTUS'S MALAYSIA LANCAR KEDAI HIBRID PERTAMA, SASAR SEGMEN PASARAN BAHARU

01/08/2024 08:29 PM

PETALING JAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia)  melancarkan kedai hibrid pertamanya di Lotus's  Puchong di sini hari ini, sekali gus memasuki segmen pasaran baharu yang menyasarkan kepada pengendali perniagaan, peruncit makanan, perkhidmatan makanan, HoReCA (hotel, restoran dan kafe), organisasi bersifat amal dan pengguna akhir.

Mengenengahkan slogan ‘Beli Lebih Untung Lebih’, kedai hibrid berkenaan menawarkan nilai lebih hebat dengan diskaun ke atas barangan bagi pembelian pukal.

Pengarah Eksekutif Operasi Lotus’s Malaysia Neil Gurusamy berkata pelancaran kedai itu merupakan pencapaian penting bagi jenama tersebut, yang membolehkan ia menyasarkan segmen pasaran baharu seperti pengendali perniagaan dan HoReCa sambil terus kekal rapat dengan pelanggan setianya.

“Kami memperkenalkan kedai hibrid ini kerana terdapat ramai pelanggan kami yang meminta diskaun lebih hebat terutama daripada pengendali kantin, peruncit makanan dan banyak lagi. Jadi, kedai hibrid ini bukan saja untuk HoReCa tetapi juga untuk peniaga kecil.

“Ini kerana apabila anda (pelanggan) membeli secara pukal, harga akan lebih murah selain turut mendapat diskaun,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kedai hibrid.

Kedai seluas 5,000 meter persegi yang beroperasi secara rasmi hari ini, menawarkan lebih 13,500 produk termasuk 600 item khusus untuk HoReCa seperti komoditi, keperluan memasak, produk segar, produk pembersihan rumah dan makanan dalam tin.

Selain susun atur kedai yang luas, kelengkapan dan peralatan baharu serta rangkaian produk HoReCa, Neil berkata kedai itu juga menyediakan dua lorang bayaran khusus dan perkhidmatan prapesanan bagi pembelian secara pukal.

“Matlamat utama kedai ini ialah untuk memastikan pelanggan menikmati tahap keselesaan, kemudahaan dan nilai yang luar biasa,” katanya, menambah inisiatif itu mungkin diperluaskan ke seluruh Malaysia berdasarkan kepada penilaian menyeluruh.

Sementara itu, antara yang menarik sempena pelancaran hari ini ialah tawaran ayam utuh segar pada harga RM2.99 sekilogram (kg) (terhad kepada 1,000 pelanggan pertama dari 8-10 pagi), telur gred C RM5.99 sepapan (terhad kepada 1,000 papan dari 10 pagi hingga 12 tengah hari), televisyen Philips 32 inci hanya pada RM399 dan pelbagai promosi lain yang berlangsung hingga 4 Ogos.

Selain itu, Lotus’s Puchong juga menawarkan pelbagai aktiviti ganjaran termasuk beg cenderahati percuma dan baucer hadiah Lotus's bernilai RM20 dengan pembelian minimum RM50 dan ke atas, sesi cabutan bertuah dengan pembelian minimum RM120 dan baucer RM50 bagi My Lotus's dengan pembelian RM600 bermula hari ini hingga 14 Ogos. 

Pelanggan dan keluarga mereka juga boleh menyertai pertandingan ‘Nintendo Switch Sports’ dengan pembelian minimum RM30 bermula hari ini hingga 11 Ogos dan mengunjungi zoo ‘petting’ juga bermula hari ini hingga 4 Ogos dan dari 10-11 Ogos.

Pada majlis hari ini, Lotus’s Malaysia turut mengundang wakil media menyertai ‘Media Scavenger Hunt’ untuk amal, dengan menggumpul lebih 1,300 kg barangan makanan keperluan seprti beras, bihun, biskut, minyak masak, minuman panas, mi segera, produk segar dan makanan dalam tin untuk sumbangan #KitakanJiran kepada Food Aid Foundation.

Pengurus Program Food Aid Foundation dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Muhammad Izzul Izham Mohammad Nordin yang hadir pada majlis itu berkata kesemua barangan tersebut akan dijadikan makanan berkhasiat untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan