DUNIA

MENTERI KEWANGAN KOREA SELATAN JANJI SIAP SEDIA HADAPI PEMOTONGAN KADAR FAEDAH AS

01/08/2024 09:05 PM

MOSCOW, 1 Ogos (Bernama-Sputnik) -- Menteri Kewangan Korea Selatan, Choi Sang-mok berjanji pada Khamis untuk merangka pelan luar jangka untuk bertindak balas terhadap ketidaktentuan pasaran selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat  (AS) memberi isyarat bahawa ia akan memotong kadar faedah utamanya, lapor Sputnik yang memetik media tempatan.

"Ketidakpastian masih wujud mengenai bila dan berapa banyak AS akan memotong kadar faedah. Kerajaan akan terus berwaspada dan mengekalkan koordinasi rapat antara institusi yang berkaitan untuk tindak balas yang sesuai," kata Choi seperti yang dipetik oleh agensi berita Yonhap.

Menteri itu berkata pasaran kewangan Korea Selatan kekal stabil walaupun terdapat risiko ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah dan Pilihan Raya Presiden yang akan datang di Amerika Syarikat.

Choi berkata dasar kewangannya akan memberi tumpuan kepada hutang isi rumah dan pembiayaan hartanah.

Pada Rabu, Rizab Persekutuan meninggalkan kadar faedah tidak berubah pada julat 5.25 peratus - 5.5 peratus untuk kali kelapan, tetapi Pengerusi Fed Jerome Powell berkata bahawa kadar itu mungkin turun seawal September. Julat kadar semasa adalah yang tertinggi dalam dua dekad.

--BERNAMA-SPUTNIK

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan