AM

MPK OPTIMIS KANGAR JADI BANDAR RAYA BAHARU DILENGKAPI CIRI BANDAR PINTAR MENJELANG 2035

01/08/2024 10:13 PM

KANGAR, 1 Ogos (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) optimis Kangar bakal menjadi bandar raya baharu yang sejahtera dan dilengkapi ciri bandar pintar sepenuhnya menjelang 2035 sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan serta ekonomi rakyat di Perlis.

Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata usaha itu adalah antara inti pati utama Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar Perlis 2035 (RT MPKPs 2035).

“Kita sekarang sudah ke arah bandar pintar dan MPK berhasrat menjadikan Kangar bandar raya yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kawasan strategik selain mementingkan fasiliti OKU (Orang Kurang Upaya) di semua lokasi awam," katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi Dialog Awam Agenda Pemajuan Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata langkah menjadikan Kangar bandar pintar mampu menarik pelancong luar untuk berkunjung ke Perlis sekali gus meningkatkan taraf ekonomi setempat melalui aktiviti perniagaan.

Justeru, katanya elemen bandar bersih juga dititikberatkan dalam kriteria bandar raya baharu itu untuk menjamin keselesaan penduduk dan pelancong tempatan mahupun antarabangsa untuk tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan