AM

MALAYSIA PERKENAL SISTEM PEMBERITAHUAN PELANGGARAN DATA CEGAH PENIPUAN

01/08/2024 10:53 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia memperkenalkan sistem Pemberitahuan Pelanggaran Data untuk melaporkan segera dan mengurangkan kebocoran data bagi mengelakkan rakyat daripada menjadi mangsa penipuan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata pemberitahuan ini mesti dikemukakan oleh pengguna data yang mengalami insiden kebocoran data peribadi, termasuk ancaman penggodaman.

"Inisiatif ini membolehkan maklumat insiden dianalisis supaya langkah mitigasi dapat diambil dengan segera bagi mengelakkan ketirisan selanjutnya dan mengawal kesan berterusan.

"Kerajaan komited untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap amalan pengurusan data negara," katanya kepada Bernama di luar lawatan kerja dua harinya di sini, Khamis.

Teo berkata agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kawal selia dan organisasi lain di Malaysia sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sistem pemberitahuan, melaksanakan peraturan yang lebih ketat dan meningkatkan penguatkuasaan untuk melindungi individu daripada penipuan.

Beliau berkata memandangkan kemajuan dalam pendigitalan juga meningkatkan potensi penyalahgunaan teknologi dan pendedahan kepada penipuan, adalah penting untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan taktik yang berkembang yang digunakan oleh penipu.

"Malaysia juga menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan yang perlu bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk bekerjasama, terutamanya berkongsi maklumat, menyelaras usaha, mengkaji keperluan untuk menambah baik perundangan semasa dan menangani sifat global aktiviti penipuan," katanya.

Terdahulu, Teo mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Kerjasama Asia Tenggara China Mobile di ibu negara Thailand.

Delegasi itu, yang termasuk Ketua Pegawai Strategi Digital National Bhd (DNB) Datuk Ahmad Zaki Zahid dan ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Derek John Fernandez, turut melawat True Digital Park, hab teknologi dan pemula niaga pertama di Thailand dan terbesar di Asia Tenggara.

Teo juga dijadualkan melawat Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan Thailand untuk membincangkan usaha antipenipuan esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan