DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH

02/08/2024 10:56 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah. 

Prestasi semalaman Wall Street rendah berikutan pendapatan lemah terpilih daripada syarikat gergasi teknologi permodalan besar mungkin menunjukkan ekonomi lemah.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.65 mata kepada 1,613.60 daripada 1,624.25 semalam.

Indeks dibuka rendah 4.94 mata kepada 1,619.31.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 609 berbanding 54, dengan 217 kaunter tidak berubah, 1,538 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 359.59 juta unit bernilai RM155.81 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dengan sentimen dagangan yang negatif dan pergerakan yang tidak menentu di Amerika Syarikat (AS), ia percaya mungkin terdapat tekanan jualan pada sesi tersebut.

“Bagaimanapun, kami percaya ini boleh menjadi peluang untuk membeli semasa harga rendah menjelang musim pelaporan keputusan kewangan di pasaran tempatan dalam sektor pembinaan, bahan binaan, hartanah dan utiliti.

“Selain itu, kami berpendapat segmen tenaga boleh baharu perlu mendapat manfaat daripada insentif terkini untuk pemasangan panel solar manakala segmen telekomunikasi akan menyaksikan prestasi positif berikutan berita mengenai 5G baru-baru ini,” katanya.

Menurut Malacca Securities, peniaga akan memantau data senarai gaji bukan ladang AS yang akan datang hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah pada Khamis berikutan penjual masih mendominasi pasaran.

“Walaupun mengejutkan, kami berpendapat jualan berlaku mungkin disebabkan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah dalam persekitaran prestasi serantau yang lemah.

“Oleh itu, kami percaya sentimen pasaran akan berhati-hati selepas jualan di Wall Street. Justeru, menjangka indeks akan berada dalam julat 1,620-1,630 hari ini,” katanya kepada Bernama. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 6.0 sen kepada RM10.20, Public Bank berkurangan 3.0 sen kepada RM4.23, Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM14, CIMB Group turun 5.0 sen kepada RM7.38 dan IHH Healthcare merosot 7.0 sen kepada RM6.25. 

Daripada saham aktif, Dataprep Holdings dan Hubline, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 20.5 sen dan 12.5 sen manakala Ta Win, Jaks Resources dan Velesto Energy, masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen, 16.5 sen dan 22 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 108.45 mata kepada 12,402.42, Indeks FBMT 100 berkurangan 100.94 mata kepada 12,001.71, Indeks FBM 70 susut 233.33 mata kepada 18,257.17, Indeks FBM ACE turun 78.45 mata kepada 5,553.17 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 118.47 mata kepada 12,609.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 119.17 mata kepada 18,160.80, Indeks Pembinaan susut 5.09 mata kepada 295.03, Indeks Penjagaan Kesihatan jatuh 16.91 mata kepada 2,039.31 dan Indeks Perladangan merosot 20.48 mata kepada 7,171.44.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan