EKONOMI

MALAYSIA CAPAI PERTUMBUHAN KDNK 3.6 PERATUS PADA 2023 MESKIPUN CABARAN GLOBAL - JABATAN PERANGKAAN

02/08/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Malaysia mempamerkan ekonomi yang berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.6 peratus pada 2023.

Pertumbuhan ini dicapai dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar termasuk ketegangan geopolitik yang mempengaruhi pasaran global, kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga komoditi.

“Sektor perkhidmatan menyumbang kepada pertumbuhan ini dengan prestasi kukuh sebanyak 5.1 peratus, mengimbangi pertumbuhan sederhana sektor pembuatan sebanyak 0.7 peratus disebabkan oleh cabaran ekonomi global, termasuk gangguan rantai bekalan dan ketidakstabilan harga komoditi,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Malaysia mencatatkan kedatangan pelancong yang ketara pada 2023, melonjak kepada 20.1 juta pelancong berbanding 10.1 juta pada 2022, ketika sekatan perjalanan global lebih ketat disebabkan pandemik.

“Pelancongan domestik juga meningkat secara mendadak, mencatatkan 213.7 juta pelawat, peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2022 (171.6 juta pelawat),” katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi menarik bagi pelabur global pada 2023, didorong oleh prestasi pelaburan yang kukuh

“Aliran masuk modal bukan sahaja mengukuhkan ketahanan ekonomi Malaysia tetapi juga meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Malaysia berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat  23.0 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM267.8 bilion),” katanya.

Beliau berkata walaupun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar, perdagangan Malaysia melepasi jumlah RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut, mencatatkan RM2.64 trilion pada 2023, dengan lebihan perdagangan sebanyak RM214.1 bilion.

Pulau Pinang, Johor dan Selangor terus kekal sebagai negeri pengeksport utama Malaysia, menyumbang masing-masing 31.4 peratus, 20.3 peratus dan 17.7 peratus kepada eksport negara.

Menurutnya, Inflasi Malaysia pada 2023 menyederhana kepada 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022 berikutan harga komoditi global yang lebih rendah, gangguan bekalan yang beransur pulih, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih.

Mohd Uzir berkata penduduk Malaysia pada 2023 dianggarkan berjumlah 33.4 juta orang, meningkat sebanyak 2.1 peratus daripada 32.7 juta yang direkodkan pada 2022.  

“Lima negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah, Perak dan Sarawak, mencatatkan jumlah penduduk seramai 19.9 juta orang, menyumbang 59.8 peratus kepada jumlah keseluruhan penduduk. 

“Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat sebanyak 0.8 mata peratus kepada 70.0 peratus pada 2023, berbanding 69.3 peratus pada 2022. Kenaikan ini direkodkan di semua negeri berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan