AM

BELAJAR GUNA KANTA PEMBESAR, SITI ZAHARAH BERJAYA LENGKAPKAN PHD PADA USIA 82 TAHUN

02/08/2024 07:35 PM

Oleh Hasnah Jusid dan Nur Syuhada Yusof

BANGI, 2 Ogos (Bernama) -- Ketika alat kecerdasan buatan (AI) menjadi pilihan rujukan bagi mahasiswa ketika menyiapkan sesuatu tugasan di universiti, berbeza pula bagi Dr Siti Zaharah Hamid, 82, yang menggunakan kanta pembesar, menelaah satu persatu kitab dan buku di kediaman kecilnya di sini.

Anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang itu terpaksa menggunakan cara berkenaan kerana berdepan masalah penglihatan seperti katarak mata dan glukoma, ketika melalui tempoh getir dalam menyiapkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Selangor (UIS).

Bukan itu sahaja, perjalanan beliau menggapai ijazah akademik tertinggi itu penuh onak ranjau dan duri apabila perlu melakukan dua kali pembedahan bagi merawat katarak selain turut diuji dengan masalah kesihatan seperti jantung dan tiroid, dan masih perlu mengambil ubat-ubatan hingga kini. 

Semua pengorbanan itu berbaloi apabila beliau yang mesra disapa ‘umi’ atau ‘Tok Njang’, mengejutkan banyak pihak berikutan kejayaannya menamatkan pengajian PhD Islamiyyat pada 29 Julai lepas, kira-kira sebulan sebelum menyambut ulang tahun kelahiran pada 27 Ogos ini.

Beliau mengambil masa 11 tahun untuk menyiapkan pengajian PhD berkenaan sambil bekerja sebagai pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah di UIS, dan walaupun telah bersara pada 2018 masih meneruskan pengajiannya.

Saat melangkah masuk ke kediaman teres seluas kira-kira 305 meter persegi di Seksyen 2 di sini, wartawan Bernama yang berpeluang menemu bual sendiri Siti Zaharah, cukup kagum melihat rumahnya yang tak ubah seperti perpustakaan mini, menempatkan ribuan buku dan kitab pengajian selain terdapat sudut informasi. 

Di tengah-tengah ruang tamu terdapat satu meja rendah yang menjadi tempatnya belajar, dengan beberapa kanta pembesar pelbagai saiz diletakkan di tepi meja dan buku pengajian yang berselerak di atasnya, manakala di luar rumah pokok buah tin subur menghijau.  

“Umi rasa belajar ini bukan untuk dapatkan segulung ijazah semata-mata, umi tak pernah puas, apa yang penting kesedaran untuk belajar ini bukan hanya untuk sijil tapi untuk ilmu bekalan akhirat,” katanya ketika membuka bicara sambil ditemani rakan-rakan dan penyelianya. 

Berhijrah seawal usia 11 tahun ke Kuala Lumpur untuk menuntut ilmu di Taman Pendidikan Islam (TAPIS), Kampung Baru, anak ketiga daripada 12 beradik itu berkata sejak kecil lagi beliau ditanamkan dengan prinsip untuk menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Ia menyaksikan beliau mula menjadi guru seawal usia 16 tahun di TAPIS pada sebelah pagi selain mengikuti gurunya memberikan kelas di sekolah agama, pusat tahfiz, rumah anak yatim, asrama Tunku Budriah, Cheras, rumah kebajikan dan sekolah kejururawatan Hospital Besar Kuala Lumpur pada sebelah petang. 

Selepas melanjutkan pengajian pada 1976 di Nilam Puri iaitu sebuah institusi pengajian tinggi Islam di Malaysia yang kini dikenali sebagai Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, beliau berhijrah ke Mesir pada 1981 bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Al-Azhar.

Beliau berkata usaha mendapatkan PhD pada awalnya ingin dimulakan ketika berada di Mesir, namun perancangan Allah SWT lebih hebat apabila pensyarah yang juga penyelianya meninggal dunia hingga menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan pengajian.

Sekembalinya ke tanah air pada 1995, beliau berkhidmat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang kini dikenali sebagai UIS dan menjadi pensyarah di situ hingga bersara pada 2018. Beliau memulakan pengajian PhD pada 2013 dan ditaja sepenuhnya oleh UIS selepas bersara.

Menjadikan Zaynab al-Ghazali Al Jubayli, seorang ‘mufassir’ (ahli tafsir) dan aktivis dari Mesir sebagai idola sekali gus tajuk kajian untuk PhD iaitu ‘Pendekatan Tarbiyah Zaynab Al-Ghazali Al-Jubayi Dalam Tafsir Nazarat Fi Kitab Allah’, Siti Zaharah berkata beliau sangat mengagumi keperibadian dan perjuangan wanita itu 

Beliau berkata tafsir ‘Nazarat fi Kitab Allah’ merupakan tafsir pertama yang ditulis oleh mufassir perempuan secara lengkap yang memperlihatkan pembelaan terhadap hak-hak perempuan dan menolong golongan itu  untuk berpegang teguh dengan nas-nas syariat Islam.

“PhD ini perjuangan umi menghapuskan salah faham dan salah tafsir terhadap hak-hak wanita yang diberikan oleh Allah SWT dalam al-Quran seperti diperjuangkan oleh Zaynab Al-Ghazali,” katanya yang turut bercadang untuk menterjemah kitab tersebut ke dalam Bahasa Melayu jika diberi peluang selepas ini. 

Walaupun berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD, beliau berkata ia bukan pengakhiran kepada perjuangannya meneroka lebih banyak ilmu berkaitan agama selepas ini. 

Ketika warga emas seusianya sibuk bermain dengan cucu-cicit, Siti Zaharah yang belum berumah tangga berkata beliau bukanlah seorang yang menolak perkahwinan tetapi melihat perkara itu sebagai peluang diberikan untuknya menuntut ilmu hingga ke akhir hayat. 

“Walaupun umi tidak berumah tangga, umi bangga ramai anak-anak terdiri daripada anak murid masih berhubung hingga sekarang, dari seluruh Malaysia masih bertanya khabar dan banyak membantu,” katanya. 

Ditanya rahsia kekuatan ingatan dan kecergasan beliau, Siti Zaharah mengakui sentiasa menjadikan tadarus dan tadabbur al-Quran sebagai amalan, malah sering meluangkan masa setiap malam ke surau berhampiran untuk menghadiri aktiviti keagamaan. 

“Sebab itu Allah bagi umi tak pernah putus asa, tak pernah mengeluh kesulitan, tak pernah rasa Allah abaikan kita. Allah janjikan kalau kita selalu ingat Dia, Dia akan ingat kita,” katanya yang dijadual menghadiri majlis konvokesyen pada November ini. 

Beliau juga amat bersyukur apabila rakan-rakan dan penyelianya di UIS daripada pelbagai peringkat umur banyak membantu sepanjang tempoh pengajian, misalnya menghantarnya pergi dan pulang dari kampus serta perpustakaan walaupun adakalanya beliau lebih selesa memandu sendiri. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan