AM

PENTINGNYA PENDEDAHAN PENGGUNAAN PEMBAYARAN TANPA TUNAI KEPADA WARGA EMAS

31/07/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat, terutamanya warga emas, mengenai kaedah pembayaran tanpa tunai sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Pakar keusahawanan dan inovasi Prof Madya Dr Noor Azuan Hashim berkata masih ramai yang enggan atau tidak mempunyai kemahiran untuk membuat bayaran secara dalam talian seperti menggunakan kad debit, kod QR, dan dompet digital (e-wallet).

“Pihak media juga harus memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat berkaitan cara penggunaan aplikasi dan peralatan tertentu, sehingga rakyat negara ini menjadi selesa untuk beralih kepada sistem ‘tanpa tunai’ sepenuhnya.

“Dengan pelbagai usaha yang telah dan sedang dijalankan, mungkin kebanyakan warga emas akan menjadi mahir dalam penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang merupakan mantan Koordinator Program Sarjana Keusahawanan dan Inovasi (Eksekutif) di Pusat Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata panduan mengenai keselamatan juga perlu diberikan, terutamanya kepada warga emas yang sering bimbang akan ancaman penipuan dalam talian.

Noor Azuan berkata premis perniagaan perlu memberikan pilihan kepada pelanggan sama ada untuk membuat bayaran secara tunai atau tanpa tunai bagi memudahkan transaksi pembelian.

“Mungkin mereka boleh menetapkan sistem seperti menghadkan jumlah bayaran yang dibenarkan secara tunai, dan mengenakan syarat untuk membuat pembayaran secara tanpa tunai jika melibatkan jumlah yang besar.

“Ini juga akan memberikan kelebihan kepada para peniaga yang bimbang apabila ‘memegang’ wang tunai dalam jumlah yang besar dan menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Beliau berkata para peniaga turut boleh memainkan peranan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan pembayaran tanpa tunai dengan memberikan diskaun dan promosi kepada pelanggan yang tidak membayar secara tunai.

Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, yang mana majoriti penggunanya terdiri daripada kalangan warga emas, memandangkan ramai warga tua masih skeptikal dan takut menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu pakar ekonomi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Dr Carmelo Ferlito berkata penghijrahan kepada bentuk pembayaran tanpa tunai di Malaysia bergerak dengan pantas disebabkan beberapa faktor.

“Dari satu sudut, sistem tanpa tunai memberi pemilik perniagaan kawalan yang lebih besar ke atas urus niaga, manakala dari sudut lain, persepsi bahawa menyentuh wang kertas yang "dijangkiti" boleh membawa kepada penularan pelbagai penyakit, kekal sebagai faktor yang mendorong penggunaan konsep tanpa tunai dengan lebih meluas," katanya kepada Bernama .

Ditanya sama ada pendekatan seimbang terhadap penggunaan pembayaran tanpa tunai harus diambil untuk memastikan situasi menang-menang bagi semua pihak, Ferlito mengakui bahawa ‘kebebasan memilih’ harus dikekalkan.

"Saya sendiri merasa cukup kecewa apabila tidak dapat membayar secara tunai dan biasanya saya elak daripada berurusan dengan perniagaan yang tidak memberikan pilihan dari segi cara bayaran, kecuali apabila terpaksa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan