DUNIA

PEMBUNUHAN HANIYEH TIDAK MEMBANTU UNTUK GENCATAN SENJATA GAZA - BIDEN

03/08/2024 12:00 AM

ISTANBUL, 2 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh tidak membantu usaha untuk mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

"Ia tidak membantu," kata Presiden AS itu kepada wartawan lewat Khamis, apabila ditanya sama ada pembunuhan Haniyeh menjejaskan peluang untuk perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu.

Biden juga berkata beliau telah mengadakan perbincangan "secara berterus terang" dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

"Kami mempunyai asas untuk gencatan senjata. Dia perlu mengambil tindakan, dan mereka perlu bertindak sekarang," katanya.

Israel telah meneruskan serangan udara dan daratnya ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, wilayah itu telah diratakan dan kebanyakan penduduknya kelaparan dan kehilangan tempat tinggal.

Haniyeh dibunuh semasa lawatannya ke ibu kota Iran, Tehran pada Rabu. Israel tidak mengulas secara langsung mengenai kematiannya.

Pembunuhan itu berlaku sehari selepas Komander Hizbullah, Fouad Shukr, terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut.

Perbincangan untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan, yang diteruskan melalui pengantara AS, Qatar, dan Mesir, nampaknya terhenti selepas serangan di Beirut dan Tehran.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan