AM

ORANG RAMAI DISERU HADIR HIMPUNAN SOLIDARITI PALESTIN

01/08/2024 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Orang ramai diseru hadir ke Himpunan Solidariti Palestin yang akan berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada pukul 6.30 petang Ahad ini,

Datuk Seri Mohamad Sabu yang dipertanggungjawabkan mengetuai himpunan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi ucapan dalam perhimpunan itu, bersama beberapa lagi pemimpin yang lain untuk menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Kabinet memutuskan untuk saya mengepalai himpunan pada 4 Ogos ini di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bermula pada waktu Maghrib,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

“Perdana Menteri akan memberi ucapan pada malam itu untuk kita menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin demi melindungi orang-orang yang tertindas serta terbunuhnya Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh,” katanya.

Mohamad turut berharap kematian Hanyeh dalam keadaan mulia dan syahid syuhada.

Semalam Hamas melaporkan Haniyeh bersama seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran.

Terdahulu hari ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyeru semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira daripada parti mana sekali pun untuk turut hadir ke perhimpunan itu.

Sebelum ini Himpunan Solidariti Bersama Gaza pernah diadakan di Masjid Negara yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan