AM

JAPEN ANJUR PROGRAM PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU DI 38 SEKOLAH

05/08/2024 12:32 PM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Sempena Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan (JaPen) menganjurkan Pentarama X Kelab Malaysiaku bersama 38 sekolah di lima negeri, dalam usaha memupuk dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Startegik JaPen) Rubaayah Osman berkata skuad Pentarama X Kelab Malaysiaku akan berada di sekolah-sekolah terpilih di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak, dengan pelbagai aktiviti bersifat patriotisme akan diadakan bersama pelajar.

"Ini adalah program kerjasama antara rakan strategik kita iaitu Kementerian Pendidikan yang diadakan melalui sekolah kerana di sekolah inilah bermulanya semangat cintakan negara dapat kita pupuk.

"Generasi muda perlu kita pupuk dengan semangat (patriotik) supaya mereka merasakan bahawa negara ini adalah hak mereka, dan mereka perlu melindungi dan mencintai negara ini selamanya," katanya kepada media selepas Program Pentarama X Kelab Malaysiaku Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Rubaayah berkata selain meningkatkan semangat patriotik, program itu juga bertujuan untuk memberi kefahaman dan pendedahan kepada pelajar sekolah berkenaan mengenai kepentingan mengekalkan keamanan dan perpaduan di Malaysia.

Beliau berkata antara pengisian program itu, yang berlangsung sehingga 16 Sept depan, adalah sembang santai, nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan