SUKAN

PARIS 2024: CABARAN BADMINTON BERAKHIR DENGAN DUA GANGSA

06/08/2024 06:09 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 5 Ogos (Bernama) -- Cabaran kem badminton negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir hari ini dengan dua gangsa, dan kini harapan pingat emas pertama negara beralih ke acara berbasikal trek.

Pada hari ke-10 temasya, pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berjaya bangkit dari ketinggalan satu set, untuk menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 pada penentuan gangsa. 

Zii Jia yang hadir ke Paris dengan harapan emas, berjanji untuk kembali lebih mantap untuk cabar emas di Los Angeles 2028 (LA28).

Semalam, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat pertama bagi Malaysia di Paris 2024, apabila bangkit menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.

Sementara itu, di Marseille Marina, lebih 750 kilometer dari sini, dua pelayar negara - Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif - terlepas peluang mencabar pingat apabila gagal meraih kedudukan 10 teratas bagi melayakkan diri ke perlumbaan pingat esok (6 Ogos).

Pelayar veteran Khairulnizam menutup kempen Olimpik keempatnya di kedudukan ke-32 dengan 168 mata penalti bagi acara single-handed dinghy ILCA 7 lelaki selepas lapan pusingan, manakala pusingan kesembilan dan ke-10 terpaksa dibatalkan.

Nur Shazrin pula menduduki tempat ke-35 acara single-handed dinghy ILCA 6 wanita dengan 215 mata penalti selepas sembilan perlumbaan, dengan perlumbaan terakhir acara itu turut dibatalkan.

Berikutan itu, tiada acara melibatkan atlet Malaysia pada Selasa, dengan cabaran akan bersambung pada Rabu.

Pemenang pingat perak keirin lelaki di Tokyo 2020, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi dalam acara pecut yang berlangsung Rabu sehingga Jumaat ini, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan beraksi buat kali pertama di Olimpik beraksi dalam keirin wanita pada Rabu dan Khamis.

Nurul Izzah Izzati kemudian akan membuka kempen dalam acara pecut dari Jumaat hingga Ahad, manakala Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi dalam acara utama mereka, keirin lelaki pada Sabtu dan Ahad.

Cabaran di kolam terjun pula, bakal menyaksikan Nur Dhabitah Sabri membuka cabaran pusingan awal acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Rabu (7 Ogos), manakala Bertrand Rhodict Lises pula akan beraksi dalam acara 10m platform lelaki pada Jumaat.

Tidak lupa juga, badang negara Mohamad Aniq Kasdan yang akan membawa cabaran dalam kategori 61 kilogram angkat berat lelaki (Rabu), manakala pemain golf Ashley Lau beraksi di acara individu wanita bermula Rabu hingga Sabtu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan