EKONOMI

OPR DIJANGKA KEKAL PADA TIGA PERATUS WALAUPUN FED KURANGKAN KADAR FAEDAH

05/08/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus pada akhir 2025 susulan pengukuhan ringgit.

Perkara itu diunjurkan walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengurangkan kadar faedah seperti dijangkakan.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjelaskan berdasarkan inflasi yang reda dan kenaikan kadar pengangguran, Fed mungkin mula mengurangkan kadar faedah seawal September 2024.

Bank pelaburan itu menambah pihaknya mengunjurkan pengurangan 50 mata asas (bps) bagi Kadar Dana Fed (FFR) pada 2024 dan penurunan 100 bp pada 2025.

“Berasaskan jurang besar 250 mata asas antara OPR semasa pada tiga peratus dengan FFR pada 5.25 hingga 5.50 peratus, pasukan kami mengunjurkan tiada pengurangan bagi kadar domestik.

“Justeru, OPR diunjurkan kekal pada tiga peratus bagi 2024 dan 2025, terutama memandangkan risiko inflasi domestik kekal tinggi,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Maybank IB memaklumkan jangkaan kadar faedah di Malaysia itu mengekalkan petanda baik untuk margin dan pendapatan bukan faedah kalangan bank.

“Susulan ketiadaan pengurangan kadar yang boleh memburukkan lagi pemampatan margin faedah bersih (NIM), kami menjangkakan purata NIM stabil dengan potensi kecenderungan meningkat pada 2025.

“Perkara yang menggalakkan juga ialah imbangan akaun semasa atau akaun simpanan (CASA) perbankan terus mencatatkan pertumbuhan, dan ini akan membantu mengurangkan tekanan margin,” jelasnya.

Bank pelaburan itu menjelaskan pasukan penyelidiknya bagi pendapatan tetap telah dan terus yakin dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Pasukan menjangkakan hasil MGS berjangka 10 tahun pada 3.60 peratus menjelang akhir tahun ini  daripada sekitar 3.70 peratus pada masa ini susulan kekukuhan ringgit, tambahnya.

“Ini menggambarkan bank terus berpotensi untuk merealisasikan keuntungan yang diselaraskan dengan nilai yang ditentukan pasaran semasa bagi portfolio pelaburan mereka, yang berfungsi untuk mengekalkan pendapatan bukan faedah,” jelasnya.

Bak pelaburan itu menambah ketidaktentuan mata wang akan membantu memastikan pendapatan daripada pertukaran mata wang asing kekal memberangsangkan.

Maybank IB percaya berlandaskan prospek ekonomi dan sektor perbankan yang lebih baik ditambah dengan pengukuhan ringgit, penilaian yang baik serta hasil menarik, persekitaran semasa adalah kondusif untuk aliran masuk asing seterusnya ke dalam sektor perbankan.

“Kami menjangkakan keseluruhan ini akan positif untuk bank-bank Malaysia, sama ada secara langsung dan tidak langsung,” menurut Maybank IB.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan