AM

NEGARA CIRDAP DISERU TEROKAI PELUANG DALAM PROGRAM TVET - RUBIAH

05/08/2024 01:47 PM

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Negara anggota Pusat Pembangunan Luar Bandar Bersepadu Asia dan Pasifik (CIRDAP) diseru supaya meneroka peluang dalam program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berpotensi meningkatkan pembangunan kemahiran, menggalakkan kerjasama serantau dan mempromosikan pertanian mampan serta pembangunan luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata dengan memanfaatkan kekuatan dan sumber, Malaysia serta negara-negara CIRDAP lain dapat mengukuhkan kerjasama dalam program TVET bagi menggalakkan pembangunan kemahiran, pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman sosial di rantau Asia Pasifik.

"Selain TVET, penerokaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) sangat penting bagi negara anggota CIRDAP untuk menangani cabaran dalam pembangunan luar bandar.

"Ini termasuk penggunaan kemajuan teknologi yang pesat, impak perubahan iklim dan bencana luar jangka," katanya pada pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal CIRDAP ke-39 di sini hari ini.

Rubiah berkata menyediakan Program Literasi Digital kepada komuniti luar bandar juga penting bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat akses dan memanfaatkan teknologi baharu secara berkesan. 

Timbalan menteri itu berkata inisiatif berkenaan memperkasakan populasi luar bandar untuk melibatkan diri dalam e-dagang, mendapatkan akses kepada informasi penting dan menambah baik kehidupan mereka, sekali gus menyumbang kepada penurunan kemiskinan.

"Dalam hal ini, kerjasama serantau memainkan peranan penting dalam berkongsi model yang berjaya dan mewujudkan rangkaian yang menghubungkan usahawan luar bandar merentasi sempadan, justeru meningkatkan keupayaan dan meluaskan capaian mereka.

"Mengutamakan pelaburan dan program latihan, meningkatkan keterlihatan inisiatif dan menggalakkan kolaborasi dengan organisasi antarabangsa lain adalah penting bagi menangani keperluan unik komuniti iuar bandar.

"Ia patut meliputi kemahiran pertanian, kepakaran teknologi digital, tenaga boleh ubah dan sektor baharu muncul lain," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan