AM

MALAYSIA PERLU MANFAATKAN POTENSI BESAR INDUSTRI NADIR BUMI - PM ANWAR

05/08/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, Aug 5 (Bernama) -- Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi besar industri nadir bumi (REE) terutamanya daripada sumber tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2024 Anwar menegaskan kerjasama dengan pemain antarabangsa yang memiliki kepakaran perlu didasarkan kepada matlamat akhir membangunkan keseluruhan rantaian industri dalam negara.

“Aktiviti penguatkuasaan juga perlu diperkemas bagi mengelak sumber negara dieksploitasi, yang akan mengurangkan hasil kepada Kerajaan dan merencat pembangunan industri REE negara.

“Mesyuarat juga meneliti cadangan rangka kerja termasuk anjakan besar bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menjalankan perniagaan, selaras kedudukan semasa negara dalam indeks daya saing global,” kata beliau menerusi hantaran di laman media sosialnya hari ini.

Anwar berkata kerajaan yakin usaha-usaha ini akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya memperkukuh asas ekonomi negara.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan