EKONOMI

136,453 PERTUBUHAN F&B BEROPERASI DENGAN NILAI OUTPUT KASAR RM99 BILION PADA 2022 - DOSM

05/08/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 136,453 pertubuhan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) beroperasi pada 2022 dengan nilai output kasar RM99.0 bilion berbanding 167,490 pertubuhan pada 2015 yang mencatatkan nilai RM66.4 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi Banci Ekonomi 2023 Perkhidmatan Makanan dan Minuman yang dikeluarkan pada Isnin, DOSM menjelaskan perkhidmatan makanan mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu 107,129 pertubuhan dan menyumbang sebanyak 78.5 peratus.

Ini diikuti oleh perkhidmatan katering (16,208 pertubuhan; sumbangan: 11.9 peratus) dan perkhidmatan minuman (13,116 pertubuhan; sumbangan: 9.6 peratus, tambah jabatan itu.

DOSM memaklumkan nilai ditambah bagi perkhidmatan F&B adalah RM43.8 bilion pada 2022, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6.6 peratus berbanding pada 2015.

“Perkhidmatan makanan merekodkan sumbangan nilai ditambah tertinggi iaitu 83.4 peratus (RM36.5 bilion) manakala perkhidmatan minuman dan perkhidmatan katering masing-masing menyumbang 9.5 peratus (RM4.2 bilion) dan 7.1 peratus (RM3.1 bilion).

“Selangor mencatatkan nilai ditambah tertinggi sebanyak RM18.5 bilion (CAGR: 12.2 peratus), diikuti Kuala Lumpur, RM6.4 bilion (CAGR: 3.5 peratus) dan Johor, RM4.1 bilion (CAGR: 6.7 peratus),” menurutnya.

DOSM menambah bahawa bilangan pekerja pada 2022 berjumlah 1.07 juta berbanding 891,616 pekerja pada 2015.

“Perkhidmatan makanan merekodkan bilangan pekerja tertinggi iaitu 871,155 orang dengan sumbangan sebanyak 80.7 peratus, diikuti perkhidmatan katering dengan sebanyak 110,593 orang (sumbangan: 10.2 peratus) dan perkhidmatan minuman dengan 98,095 orang (sumbangan: 9.1 peratus),” menurut jabatan itu.

Gaji dan upah dalam perkhidmatan F&B berjumlah RM15.5 bilion dengan perkhidmatan makanan menyumbang jumlah gaji dan upah tertinggi sebanyak RM13.0 bilion.

“Secara purata, pekerja dalam perkhidmatan F&B menerima gaji dan upah sebanyak RM1,689 sebulan. Purata gaji dan upah bulanan tertinggi diterima oleh pekerja dalam perkhidmatan makanan (RM1,735), diikuti oleh perkhidmatan minuman (RM1,646) dan perkhidmatan katering (RM1,352),” tambah DOSM.

Bagi nilai harta tetap, perkhidmatan makanan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM10.7 bilion, diikuti perkhidmatan minuman sebanyak RM1.3 bilion dan perkhidmatan katering sebanyak RM0.6 bilion, menurut jabatan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan