AM

PERAK CATAT 22.3 PERATUS BANCIAN TERKINI SEKTOR PERTANIAN - KETUA PERANGKAWAN

05/08/2024 02:56 PM

PARIT, 5 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat bancian sejumlah 22.3 peratus melibatkan 14,104 Tempat Kediaman (TK) di Perak yang meliputi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan serta pembalakan sejak 7 Julai hingga 2 Ogos lepas. 

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata daerah yang mencapai tahap pembancian tertingg ialah Kampar sebanyak 44.9 peratus diikuti Selama (34.8 peratus), Kerian (34.3 peratus), Muallim (28.4 peratus), Hilir Perak (22.7 peratus) dan Bagan Datuk (22.5 peratus).

“Bagi Perak, pembancian akan dijalankan terhadap 67,459 TK dan 2,479 pertubuhan atau entiti perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian sepanjang 7 Julai hingga 10 Okt. 

“Jumlah pembanci yang terlibat ialah 257 pembanci bagi isi rumah dan 14 pembanci bagi pertubuhan yang melibatkan tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan serta pembalakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan kerja ke Lapangan Banci Pertanian 2024 di Pusat Integrasi Tanaman dan Ternakan di Ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Titi Gantung di sini hari ini.

Sebelum ini, DOSM melaporkan dianggarkan terdapat lebih 1.3 juta isi rumah atau individu terlibat dalam pertanian selain hampir 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan turut terbabit dalam sektor itu, justeru pelaksanaan bancian berkenaan amat penting bagi mengumpul data berkaitan pertanian termasuk permasalahan dihadapi.

Banci pertanian yang dilaksanakan itu juga membantu kerajaan dalam mengukur kestabilan bekalan makanan bagi memenuhi keperluan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

Mohd Uzir berkata setakat ini sekitar 15 peratus hasil sektor pertanian menyumbang kepada penjanaan pendapatan ekonomi Perak.

“Bagi pihak kami jumlah peratusan itu agak tinggi dan membuktikan kerajaan negeri Perak melalui perancangan serta sistem yang diguna pakai mampu menjana pendapatan melalui sektor ini,” katanya.

Beliau berkata bancian yang dilaksanakan itu juga secara dasar bukan semata-mata untuk kepentingan kerajaan, malah dapatan berkenaan boleh diguna pakai oleh pemain industri dan pihak berkepentingan mencari peluang bagi memaksimumkan pendapatan.

“Perkara ini juga antara yang ditegaskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semasa sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.

“KPKM mahu data ini didedahkan supaya mana-mana pihak yang terlibat nampak peluang untuk meluaskan perusahaan serta menarik pemain baharu ke dalam sektor pertanian ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan